
KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu kerajaan membelanjakan RM64 sehari secara purata bagi setiap peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang dijangka bermula tahun hadapan.
Katanya, jumlah itu merangkumi perbelanjaan makan dan minum, penginapan dan keperluan lain sepanjang tempoh latihan dilaksanakan.
“Kerajaan akan menanggung kos pengangkutan pergi dan balik bagi peserta,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.
Mohamed Khaled pada sesi soal jawab memberitahu persidangan Dewan Negara bahawa kerajaan akan melaksanakan mekanisme pemantauan serta penilaian keberkesanan yang menyeluruh dan berterusan terhadap semua peserta PLKN 3.0.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai isu berkaitan elaun peserta, Mohamed Khaled memberitahu, tiada peruntukan untuk elaun harian kepada peserta seperti yang dilaporkan media sebelum ini.
“Setakat ini, kerajaan belum berbincang atau membuat sebarang persetujuan mengenai elaun berkenaan,” katanya.
Pelaksanaan program tersebut katanya, akan dimulakan dengan latihan percubaan membabitkan 200 peserta terdiri 148 lelaki dan 52 wanita dari 12 Januari hingga 25 Februari 2025.
Sementara bagi latihan percubaan, akan membabitkan peserta lelaki dan wanita, namun pada siri seterusnya peserta akan diasingkan mengikut jantina di kem-kem wataniah.