
SEKINCHAN: Sekurang-kurang lapan rumah musnah dalam kejadian ribut di Jalan Ban Lesen, Parit 4, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada pukul 7.48 pagi tadi.
Susulan itu, beliau berkata, sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi, anggota segera melakukan ‘size up’ dan mendapati lapan rumah musnah akibat angin kencang.
“Penduduk setempat kemudian diarahkan keluar dari rumah masing-masing dan berkumpul di tempat selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Mukhlis berkata, anggota bomba turut melakukan pemeriksaan dan mendapati tiada mangsa yang cedera atau maut.