
KUALA LUMPUR: Menjalani ibadah puasa ketika mengerjakan umrah buat pertama kali di Tanah Suci pada bulan Ramadan menjadi pengalaman yang tidak boleh dilupakan oleh sesiapa sahaja.
Bagi seorang jemaah, Abd Mutalib Maheya, 38, melahirkan kesyukuran apabila berpeluang berpuasa dan bertarawih selama dua minggu di Mekah dan Madinah bersama Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd. (Andalusia).
Abd Mutalib yang juga seorang pekerja swasta tidak pernah terfikir untuk menunaikan umrah apatah lagi berpuasa di Tanah Suci.

“Tetapi saya dah niat sebelum saya pergi umrah, saya akan pastikan ibu bapa saya pergi umrah dahulu.
“Alhamdulillah tidak lama selepas itu rezeki saya dapat menunaikan umrah pada awal Ramadan, 13 Mei 2018 bersama isteri dan anak saya,” katanya.
Mengulas lanjut, sepanjang berada di Mekah bersama anak yang masih kecil bukanlah satu perkara mudah berikutan faktor cuaca panas.
“Cuaca di sana agak panas dan kering yang mana suhu ketika itu 40 hingga 45 darjah celcius, namun jarak hotel dengan masjid yang dekat dan kita banyak menunaikan ibadah membuatkan kita tidak terasa lapar atau keletihan kerana masa berlalu pantas.
“Saya dan isteri bergilir-gilir menjaga anak, dugaan dia ada cuma lebih kepada seronok. Keadaan di sana juga sesak dan padat ketika itu dan kami bersemangat untuk merebut ganjaran pahala dengan banyak melakukan solat sunat dan tawaf.

“Berbuka puasa di sana seronok kerana para jemaah peramah dan mempelawa makan bersama. Tiba waktu berbuka, kami menjamah kurma, yogurt dan roti sebelum solat, ada juga menu lain seperti nasi arab dan sebagainya.
“Di sana saya tidak banyak mengeluarkan wang atau makan di restoran kerana banyak makanan percuma disedekahkan orang ramai di masjid atau luar masjid. Ramai yang menghulurkan sedekah,” katanya.
Abd Mutalib juga tidak boleh melupakan pengalaman dapat mencium Hajar Aswad dalam umrah pertamanya.
Sementara itu, dalam usaha memberikan lebih banyak peluang kepada umat Islam menunaikan ibadah umrah, Andalusia turut memperkenalkan Kempen JIMBA (Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia).
Orang ramai yang berhasrat menunaikan umrah jangan lepaskan peluang untuk menyertai kempen JIMBA dengan mengisi borang penyertaan di www.jimba.com.my.
Kempen ini menawarkan hadiah istimewa seperti pakej umrah, jongkong emas dan hadiah utama berupa sebuah kereta elektrik.