
KUALA LUMPUR: Sebanyak 32,800 unit kediaman siap dibina bernilai RM16.37 bilion masih belum terjual setakat suku pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 15,400 unit atau 46.9 peratus terdiri daripada kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah.
“Perkara ini menunjukkan sejumlah 53.1 peratus masih tertumpu pada rumah dalam kategori harga melebihi RM300,000.
“Keadaan ini menunjukkan bahawa isu kediaman tidak terjual bukan hanya melibatkan rumah mampu milik, tetapi turut dipengaruhi oleh ketidakpadanan penawaran dan permintaan dalam pelbagai segmen pasaran perumahan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Willie anak Mongin (GPS-Puncak Borneo) yang ingin tahu jumlah rumah mampu milik yang masih belum terjual dan kategori harga serta kadar sebenar pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda berumur bawah 35 tahun.
Aiman Athirah berkata, kadar pemilikan rumah bagi isi rumah berpendapatan rendah dalam kumpulan di Malaysia adalah sebanyak 76.3 peratus, selain itu cabaran pemilikan rumah dalam kalangan belia dan pembeli rumah pertama memerlukan pendekatan lebih menyeluruh.
Katanya, kementerian sedang memperkukuh pembangunan repositori data perumahan bersepadu pada peringkat nasional bagi menyokong perancangan dan penggubalan dasar yang lebih tepat berasaskan data.
Menjawab soalan tambahan Willie berhubung peningkatan kos pembinaan dan harga bahan, Aiman Athirah berkata, penetapan harga rumah mampu milik tidak dibuat hanya berdasarkan kos pembinaan, sebaliknya mengambil kira keseimbangan antara kemampuan rakyat untuk memiliki rumah dengan kemampanan pembangunan oleh pemaju.







