
JOHOR BAHRU: Manusia semakin mudah berhubung melalui teknologi namun semakin sukar menemukan ruang untuk benar-benar berbicara.
Jurang antara generasi muda yang membesar bersama dunia digital dan generasi terdahulu yang kaya dengan pengalaman hidup semakin ketara.
Begitupun, terdapat satu bahasa universal yang mampu meruntuhkan dinding pembatas tersebut dengan menikmati secangkir kopi.
Bukan sekadar kafein yang diseduh, kopi telah mengalami transformasi menjadi ruang temu tempat cerita lama bersinggungan dengan mimpi baru.

Bagi generasi terdahulu, kopi sering kali menjadi ritual sebuah momen tenang untuk duduk, mengamati dan menikmati waktu yang berjalan dengan perlahan.
Generasi muda pula, kopi menjadi gaya hidup , ‘peneman’ ketika melaksanakan tugas di depan skrin laptop atau sekadar estetika dirakam dalam setiap bingkai kehidupan digital.
Bagaimanapun, ketika kedua-dua generasi itu disatukan, terjadilah pertukaran energi yang luar biasa seperti ruang diskusi tanpa batasan, pertukaran ilmu pengetahuan dan menghargai proses pembikinan kopi mahupun kehidupan.
Bahkan, kedai kopi telah menjadi ruang neutral tiada hierarki mahupun label Gen Z atau Baby Boomer.
Mereka hanyalah penikmat kopi yang sedang menikmati kehangatan cangkir masing-masing.
Makar Fest X FHMAPK 2026
Menyedari kepentingan ini, Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 yang berlangsung di Padang Akasia, Pusat Beli-belah Angsana di sini baru-baru ini melalui Makar Fest X FHMAPK 2026 telah menganjurkan beberapa sesi aktiviti melibatkan peminat kopi tempatan.
Ia termasuk Coffee, Costum and Community, Brew Tradition, Tingkah Zapin dan Aroma Kopi, Aroma dan Lagu serta Sembang dan Ngopi.

Penganjur Makar Fest X FHMAPK 2026, Issey Fazlisham berkata, aktiviti kopi diketengahkan pada festival berkenaan kerana lifestyle festival akan lebih ‘hidup’ apabila terdapat komuniti kopi.
“Ia berikutan kopi sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masa kini. Kopi bukan lagi sekadar duduk minum untuk menghilangkan haus.
“Kopi sudah menjadi satu komuniti dan ruang untuk bercerita, menimba pengetahuan dan banyak lagi,” katanya.
Dia menambah, Makar Fest X FHMAPK 2026 menonjolkan konsep berbeza kepada peminat kopi tempatan dengan membawa trak kopi bergerak dihiasi penuh warna-warni untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.
Katanya, terdapat juga barista-barista yang tidak lokek berkongsi ilmu mengenai kopi kepada para pengunjung sekali gus mengeratkan ukhwah.

“Salah satu pengisian Makar Fest adalah perkongsian ilmu bersama Pengasas Rasta Brew Co., Rizal Rasta yang dikenali dalam kalangan penggiat kopi artisan mengenai slow bar kerana terdapat pelbagai jenis kopi.
“Sebagai contoh, terdapat kopi kampung, kopi brew dan kopi manual brew untuk dinikmati penggemar kopi. Pada slot berkenaan kita berkongsi mengapa terdapat sesetengah pemilik kedai kopi memilih slow bar.
“Ini kerana orang yang membuat slow bar memiliki passion lain sedikit kerana barista akan berkongsi tentang kopi kepada para pelanggan sambil membuat kopi,” katanya.

Dalam pada itu, Issey menambah, Makar Fest X FHMAPK 2026 merupakan yang festival ketujuh menggabungkan konsep tiga M iaitu Makar, Makan dan Muzik.
Katanya, Makar merangkumi fesyen, aksesori malah terdapat banyak sub-culture di dalam Makar tersebut.
“Kita ingin memenuhi sub-culture tersebut melalui festival ini sekali gus melahirkan kelainan kepada para pengunjung,” ujarnya.
Kopi Moden vs Kopi Tradisi
Dalam pada itu, di satu sisi, kopi tradisi diseduh perlahan dalam cawan sederhana, kaya dengan aroma nostalgia dan warisan yang diwariskan turun-temurun.
Kopi moden pula, hadir dengan pelbagai teknik bancuhan, cita rasa kreatif dan sentuhan inovasi yang mencerminkan gaya hidup generasi masa kini.
Sementara itu, pemilik Heritage Coffee, Azzaha Ibrahim berkata, secara peribadi kopi boleh dibahagikan kepada dua iaitu satu adalah kerana trend manakala satu lagi orang itu benar-benar meminati kopi.

“Asas dia adalah wujud kedai-kedai kopi yang orang berkunjung untuk gaya dan kedai tersebut menyajikan ‘gaya hidup’ kepada pengguna dalam erti kata ialah trend.
“Sebagai contoh, satu hari dia akan layan kopi latte, spanish latte atau lebih tepat dipanggil design coffee.
“Satu lagi adalah peminat tegar kopi yang sekurang-kurangnya memerlukan espresso sehari ataupun kalau pelanggan luar negara saya dahulu akan mendapatkannya pada setiap pagi sebelum pergi ke kerja,” katanya.
Walaupun berbeza cara penyediaan dan penyampaian kopi berkenaan, kedua-duanya berkongsi satu persamaan iaitu menghimpunkan manusia di sekeliling secangkir kopi untuk berkongsi cerita, mengeratkan hubungan dan mencipta kenangan.





