
SHAH ALAM: Kira-kira 5,000 hingga 10,000 penumpang dijangka menggunakan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam pada hari pertama operasinya, hari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Amir Hamdan berkata, jumlah itu dijangka meningkat kepada sasaran 67,000 penumpang sehari pada tahun pertama operasi, bergantung tahap kebiasaan pengguna terhadap laluan baharu itu.
“Alhamdulillah, hari ini ialah hari pertama kita beroperasi untuk Laluan Shah Alam yang bermula pukul 6 pagi dan ramai pengguna dilihat teruja menaiki tren pertama di stesen masing-masing.
“Kami terima maklum balas positif dan perkongsian menerusi media sosial, antaranya mereka teruja sampai ke pejabat dengan lebih selesa tanpa membawa kenderaan sekali gus mengelak kesesakan lalu lintas.
“Biasanya, laluan baharu tidak terus mencapai tahap maksimum. Kita akan lihat dari semasa ke semasa corak penggunaannya berkembang,” katanya kepada pemberita pada sesi tinjauan bersempena dengan hari pertama operasi LRT3 di Stesen Glenmarie 2, di sini hari ini.
Amir berkata, penggunaan LRT3 dilihat masih berada pada fasa awal kerana pengguna dalam proses mencuba perkhidmatan baharu itu sebelum menjadi rutin harian.
Beliau berkata setakat ini, operasi berjalan lancar dengan kekerapan tren kira-kira lapan minit pada waktu puncak serta keadaan kemudahan yang terkawal.
Katanya, pihaknya akan terus memantau penggunaan laluan berkenaan termasuk di stesen pertukaran utama seperti Glenmarie 2 yang menghubungkan Laluan Kelana Jaya serta Bandar Utama yang bersambung dengan Laluan Kajang.
Selain itu katanya, Prasarana memberikan tumpuan kepada aspek pengalaman pengguna termasuk penggunaan pintu automatik, mesin tiket serta aliran penumpang di stesen.
Tambah beliau, belum ada keperluan untuk memperkenalkan kemudahan khas seperti gerabak wanita, namun kajian akan dibuat berdasarkan dapatan penggunaan dan tinjauan pengguna.




