
PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia bersetuju melanjutkan perjanjian dengan Syarikat Ocean Infinity (United Kingdom) bagi meneruskan usaha pencarian dasar laut pesawat MH370 di Selatan Lautan Hindi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Kabinet Jumaat lepas, yang mana lanjutan perjanjian itu berkuat kuasa selama 12 bulan, bermula dari 1 Julai ini hingga 30 Jun 2027.
“Keputusan ini merupakan manifestasi komitmen berterusan dan tidak berbelah bahagi kerajaan dalam memberikan penutupan yang amat dinanti-nantikan oleh keluarga waris penumpang pesawat MH370,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pelanjutan perjanjian itu mengekalkan kesemua terma dan syarat utama dalam perjanjian sedia ada termasuk penerapan prinsip no find, no fee, yang mengikut prinsip berkenaan, kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat terlibat sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat ditemukan.
“Bagaimanapun, fi pembayaran berjumlah USD70 juta akan dibayar kepada Ocean Infinity sekiranya bangkai pesawat MH370 berjaya dijumpai,” katanya.
Anthony berkata, kelulusan pelanjutan tempoh itu bertujuan membolehkan baki kawasan pencarian seluas 7,428.54 kilometer persegi diselesaikan sepenuhnya oleh syarikat berkenaan.
Beliau menjelaskan, langkah itu turut mengambil kira komitmen kontrak komersial baharu yang diterima oleh Ocean Infinity yang memerlukan aset utama operasi sedia ada ditugaskan semula ke lokasi lain buat sementara waktu.
“Penugasan dan penjadualan semula aset tersebut hanya boleh dibuat bermula November ini hingga April 2027, iaitu semasa musim keadaan laut tidak bergelora bagi menjamin keselamatan serta keberkesanan pencarian,” katanya.




