
JOHOR BAHRU: Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 berjaya menarik 157,237 pengunjung sepanjang penganjuran selama lima hari.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Mohamad Azhan Md.Amir berkata, kejayaan penganjuran sambutan itu menggambarkan kerjasama harmoni dan konstruktif di antara kedua-dua Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, ia melibatkan Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Warisan Johor (YWJ).
“Festival Hari Muzium Antarabangsa (HMA) Peringkat Kebangsaan yang telah memasuki penganjuran yang ke-30 pada tahun ini merupakan kesinambungan kepada usaha berterusan dalam memartabatkan institusi permuziuman sebagai wadah pemeliharaan, pemuliharaan dan penyebaran ilmu berkaitan warisan negara.
“Pemilihan Negeri Johor sebagai tuan rumah pada tahun ini amat bertepatan dengan keistimewaan serta kekayaan tradisi dan budayanya yang unik dan tersendiri.
“Warisan seni budaya seperti zapin, ghazal dan kuda kepang malah keunikan busana, adat resam, bahasa serta makanan tradisional mencerminkan kepelbagaian budaya yang hidup subur dan harmoni di negeri ini,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majllis Makan Malam Penutup FHMAPK 2026 di Convention Hall, Berjaya Waterfront Hotel di sini hari ini.
Hadir sama ialah Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A.Kasim dan Pengarah Yayasan Warisan Johor, Nor Syazlan Abd. Razak.
FHMAPK 2026 yang membawa tema Muzium Menyatukan Dunia Yang Terpisah merupakan platform tahunan menghimpunkan institusi permuziuman, agensi kerajaan, institusi pendidikan serta pelbagai organisasi dalam usaha memperkukuh pemeliharaan dan pemuliharaan warisan negara.
Selain itu, festival berkenaan adalah untuk menggalakkan perkongsian ilmu,penyelidikan dan kerjasama dalam bidang permuziuman.

Beliau menambah, KPN melalui JMM sentiasa komited dalam memperkasa institusi muzium sebagai wahana ilmu, pemeliharaan warisan dan pembinaan perpaduan nasional.
Katanya, Kementerian melihat muzium sebagai agen perpaduan yang mendukung matlamat pembinaan negara bangsa sebagai salah satu tonggak utama perpaduan nasional.
“Pemerkasaan institusi muzium sebagai wadah pengembangan ilmu pengetahuan juga selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai ihsan, hormat, keterangkuman dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Baharin berkata, kejayaan penganjuran FHMAPK 2026 tidak akan terhasil tanpa komitmen, dedikasi dan kesatuan erat muzium-muzium persekutuan, muzium-muzium negeri dan muzium-muzium persendirian di bawah naungan Persatuan Muzium Malaysia (PMM) serta ICOM Malaysia (ICOMMAL).
Beliau menambah, pelbagai pengisian berteraskan ilmu, budaya dan warisan berjaya dianjurkan sepanjang festival berlangsung termasuk pameran-pameran menarik daripada institusi permuziuman seluruh negara serta persembahan apresiasi seni dan budaya yang mencerminkan kekayaan warisan negara.
“Kemeriahan sambutan pada tahun ini turut diserikan dengan penyertaan 34 gerai pameran yang menghimpunkan pelbagai institusi dan organisasi.
“Ia melibatkan pempamer persekutuan, pempamer negeri, di peringkat institusi dan agensi, penyertaan antarabangsa serta sebuah agensi swasta,” katanya.




