
KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen bertikam lidah berhubung dakwaan peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Kelantan selepas timbul pertikaian mengenai ketepatan statistik yang digunakan dalam perbahasan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026.
Kekecohan tercetus ketika Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran menggulung perbahasan rang undang-undang itu apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) mempertahankan kenyataannya dengan menegaskan beliau hanya merujuk laporan media yang menunjukkan peningkatan kes jenayah seksual di Kelantan.
Menurut Rayer, laporan yang disiarkan oleh New Straits Times (NST) dan Free Malaysia Today (FMT) menjadi asas kepada kenyataannya selain menegaskan beliau hanya mempersoalkan tindakan kerajaan dalam menangani isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang didakwanya semakin membimbangkan di negeri itu.
Kulasegaran kemudian meminta semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu berkenaan sambil mempertahankan laporan media yang dirujuk Rayer serta menegaskan angka berkaitan kes tersebut telah dikemukakan dalam laporan berkenaan.
Bagaimanapun, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin (PN-Putrajaya) membangkitkan laporan NST yang dipetik Rayer bertarikh 16 Mac 2023, manakala laporan lebih terkini pada 15 Mei 2024 menunjukkan Selangor merekodkan jumlah kes jenayah seksual tertinggi dalam tempoh tiga tahun lalu berikutan faktor populasi yang lebih besar.
Beliau turut menggesa semua pihak memberi tumpuan kepada usaha menangani jenayah itu tanpa mempolitikkan negeri yang terlibat.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pula menolak dakwaan tersebut dengan mengemukakan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menurutnya menunjukkan Kelantan tidak pernah menjadi negeri tertinggi bagi mana-mana kategori jenayah seksual membabitkan kanak-kanak.
Katanya, data rasmi itu sekali gus menyangkal dakwaan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jelutong.
Malah, Ahmad Fadhli mendakwa Rayer hanya bergantung kepada laporan media tanpa disokong statistik rasmi serta menyifatkan tindakan itu sebagai satu “jenayah akademik” dan bermotifkan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Suasana Dewan terus tegang apabila Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mencelah ketika Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau cuba mengawal perjalanan sidang.
Kulasegaran kemudiannya menyeru semua Ahli Parlimen supaya bertenang dan memberi ruang kepadanya menjawab soalan yang dibangkitkan agar perbahasan tidak tersasar menjadi polemik politik semata-mata.






