
KUALA SELANGOR: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kekecohan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) PKR Kuala Selangor, di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin mengesahkan penahanan itu.
Beliau berkata, suspek berusia 45 tahun yang ditahan pukul 4.15 petang semalam di sekitar Kuala Selangor bekerja sebagai pengawal keselamatan dan tidak mempunyai jawatan dalam parti.
“Individu ini direman sehingga esok bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Azaharudin berkata, setakat ini polis sudah merakam keterangan sembilan individu berhubung kejadian terbabit.
Semalam, media melaporkan seorang wanita yang hadir dalam mesyuarat itu membuat laporan polis selepas menerima ugutan dari seorang lelaki yang didakwa ‘angkat parang’ kepadanya.
Lelaki itu kemudian datang ke arah mangsa dan membuat provokasi.
Susulan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.
Terdahulu, tular dalam aplikasi Telegram video memaparkan pergaduhan di MATC PKR Kuala Selangor.
Video berdurasi empat minit tujuh saat itu mendakwa kekecohan berlaku apabila bekas calon PKR yang juga pegawai khas seorang Menteri membawa turun kumpulan samseng untuk menghalau pencabarnya.