
KUALA LUMPUR : Terminal Bersepadu Gombak (TBG) akan mula beroperasi secara berperingkat bermula 15 Mac ini dengan fasa awal melibatkan perkhidmatan menurunkan penumpang dari Pantai Timur.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkhidmatan itu akan mengambil masa selama satu minggu sebagai percubaan sebelum orang ramai mula menaiki bas dari stesen tersebut pada minggu kedua.
“Sekiranya semua berjalan lancar, penumpang boleh mula menaiki bas dari terminal itu pada minggu kedua.
“Harapan dan sasaran kita adalah menjelang musim Hari Raya Aidilfitri, iaitu pada penghujung bulan ini, mereka yang nak balik kampung boleh menggunakan terminal ini dan mengurangkan kesesakan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), katanya selepas lawatan kerja ke terminal tersebut hari ini.
Mengulas mengenai kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU), beliau berkata, TBG menyediakan platform khas bagi memudahkan pergerakan mereka.
“Saya difahamkan, terdapat satu ciri penting di TBG di mana penumpang perlu menyatakan beliau adalah OKU.
“Ia kemudian akan dikesan dalam sistem dan dimaklumkan kepada pemandu untuk meletakkan bas di tempat mesra OKU,” katanya.
Tambah Anthony, TBG diharap menjadi pilihan utama pengguna kerana ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti pusat beli-belah, restoran dan dewan serbaguna yang boleh disewa untuk pelbagai acara.