
KUALA LUMPUR: Pengembara dari 63 negara termasuk pemegang pas jangka panjang akan menggunakan Kod Respons Pantas (QR) untuk masuk ke negara ini bermula 1 Januari 2026.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sistem kod QR khususnya penggunaan aplikasi MyBorderPass akan dilengkapi ciri-ciri kecerdasan buatan (AI) iaitu penggunaan teknologi, pengecaman wajah dan juga anak mata selain biometrik.
“Sistem di pintu automatik kita sudah benarkan pengembara daripada 63 negara, termasuk pemegang pas jangka panjang dan juga negara ASEAN untuk menggunakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hasan (PN-Kota Bharu) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, penguatkuasaan itu sekali gus menyelesaikan isu ‘counter setting’ yang membabitkan anggota dan pegawai Jabatan Imigresen ekoran tiada pegawai ditempatkan di kaunter.
“Sekarang pun, kita gunakan kira-kira 172 pegawai (Imigresen) pada satu ketika, tetapi bila kita buat pemasangan sepenuhnya nanti, hanya 68 orang dan kita akan ada pengurangan hampir 60 peratus.
“Jadi, segala macam penjimatan ini kita boleh alihkan tenaga kerja berkenaan ke tempat lain sebab kita akan pergi kepada penggunaan mesin sepenuhnya.
“Soal keselamatan data, pasport kita ini adalah antara 10 pasport paling dipercayai di dunia dari segi integriti pasport,” katanya.
Tambahnya, menerusi aplikasi MyBorderPass juga, pengembara boleh membuat semakan rekod jenayah, berkaitan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebelum memulakan perjalanan.