
TEMERLOH: Seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan kerana didakwa mencabul beberapa wanita di Bazar Ramadan Lurah Semantan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, perbuatan lelaki itu terbongkar selepas ada individu merakam videonya sengaja melanggar golongan wanita ketika berjalan biarpun situasi sekeliling di bazar itu tidak sesak dengan pengunjung.
Klip video berdurasi 21 saat itu kemudiannya dimuat naik dalam aplikasi TikTok oleh pengguna yang dikenali sebagai @zackRazBundle dan ia ditularkan dalam media sosial.
“Setakat ini, pihak polis menerima laporan daripada tiga wanita berusia antara 23, 26 dan 27 tahun, masing-masing seorang peniaga, juruwang dan jurujual.
“Tiga wanita terbabit mendakwa dicabul suspek ketika berjalan untuk membeli juadah berbuka puasa di bazar terbabit pada 6 dan 10 Mac lalu, ” katanya.
Mazlan berkata, suspek secara kasar dan sengaja melanggar badan wanita berkenaan sambil mengambil kesempatan menyentuh beberapa bahagian badan mangsa.
“Suspek kemudian ditahan oleh orang ramai sebelum anggota Balai Polis Temerloh pergi ke tempat kejadian menahan semula lelaki itu pada 5.30 petang semalam,” katanya.