
KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka berdepan fenomena La Nina bermula Oktober hingga Disember tahun ini, yang berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan, banjir kilat dan kejadian tanah runtuh.
Ketua Jabatan Sains dan Teknologi Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Zulfa Hanan Ashaari berkata, keadaan cuaca ekstrem ini boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sekiranya tiada persediaan rapi dilakukan.
“Orang ramai perlu sentiasa peka terhadap amaran cuaca rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) agar langkah berjaga-jaga dapat diambil lebih awal,” katanya.
Antara langkah persediaan yang disarankan termasuk memeriksa keadaan bumbung dan saluran air di rumah bagi mengelakkan kebocoran atau saluran tersumbat.
Dr Zulfa turut menekankan pentingnya menjaga kebersihan persekitaran untuk mengelakkan penyakit bawaan air dan nyamuk.
Bagi kawasan yang sering dilanda banjir, penduduk dinasihatkan menyimpan dokumen penting serta barangan elektrik di tempat yang tinggi.
Orang ramai juga digalakkan menyediakan beg kecemasan mengandungi makanan, air minuman, ubat-ubatan, lampu suluh dan ‘power bank’.
“Dengan persiapan awal, kita boleh bertindak lebih cepat ketika kecemasan dan memastikan keselamatan keluarga sepanjang musim La Nina,” ujarnya.
Sementara itu, Pakar Hidrologi dan Permodelan Banjir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, model iklim antarabangsa menunjukkan kemungkinan besar La Nina akan melanda pada akhir tahun ini dan berlanjutan sehingga awal tahun hadapan.
“Fenomena ini dijangka berlaku dalam tempoh yang singkat tetapi bertepatan dengan musim monsun timur laut. Ini boleh menyebabkan peningkatan ketara dalam kekerapan dan intensiti hujan,” katanya.
Beliau turut memberi amaran mengenai risiko banjir di kawasan rendah, tanah runtuh, kejadian cerun gagal dan lubang jerlus akibat hujan berterusan.
Terdahulu, media melaporkan MetMalaysia menjangkakan kebarangkalian fenomena La Nina berlaku antara Oktober hingga Disember 2025 adalah sekitar 71 peratus, dan kemungkinan berlanjutan ke awal 2026 dengan kebarangkalian 54 peratus.
MetMalaysia turut memaklumkan ramalan cuaca jangka panjang bagi Oktober 2025 hingga Mac 2026 dirumus berdasarkan beberapa model iklim global termasuk fenomena El-Nino Southern Oscillation (ENSO), Madden Julian Oscillation (MJO) dan Indian Ocean Dipole (IOD).





