
KULIM: Seramai 22 orang awam cedera dalam satu insiden letupan dipercayai berpunca daripada pembakaran mercun di kawasan Paya Besar, tengah malam tadi.
Seorang lelaki mengalami kecederaan serius dengan luka sedalam lima sentimeter di bahagian dahi, manakala selebihnya mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan belerang.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan, berkata kejadian berlaku sekitar pukul 12.45 tengah malam dan disedari oleh anggota polis yang melakukan rondaan pencegahan jenayah.
“Anggota rondaan terlihat kesesakan lalu lintas dan kehadiran ramai orang di tepi jalan. Mereka segera meminta bantuan pasukan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebaik sahaja pasukan bantuan tiba di lokasi, mereka mendapati ramai individu mengalami kecederaan akibat letupan mercun yang dibakar di kawasan tersebut.
Dua buah ambulans dikerahkan ke tempat kejadian dan membawa mangsa yang cedera ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.
Keadaan lalu lintas kembali terkawal selepas orang ramai bersurai.







