
KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menyasarkan jualan sehingga 10,000 tempat duduk penerbangan bagi pakej umrah dan pelancongan menjelang Disember 2025.
Pengurus Wilayah Andalusia, Siti Syadratul Alya Samsudin berkata, sasaran ini digerakkan menerusi penyertaan aktif dalam ekspo pelancongan berskala besar, termasuk GoTravel Expo 2025 yang berlangsung di Mid Valley Megamall.
“Kami menawarkan lebih 30 destinasi pelancongan antarabangsa merangkumi Eropah, Asia Timur, Asia Barat serta beberapa destinasi lain.

“Setakat ini, sambutan sangat menggalakkan terutama ke destinasi popular seperti Turkiye, Korea, Jepun dan Eropah,” katanya.
Andalusia turut mencatat permintaan tinggi untuk pakej pelancongan dalam negara, termasuk percutian ke pulau peranginan, taman tema dan hotel mewah tempatan.
Sempena GoTravel Expo selama tiga hari itu, pelanggan berpeluang menikmati diskaun sehingga RM200 seorang untuk semua pakej umrah, termasuk Umrah Jimat, Umrah Sederhana Ramadan dan Umrah Jarak Dekat Musim Ramadan.

Diskaun turut ditawarkan untuk pakej pelancongan antarabangsa serta Muslim Tour serata dunia, menjadikan Andalusia antara penyedia utama pakej percutian patuh syariah di pasaran.
Dalam usaha menyemarakkan minat umat Islam untuk beribadah dan menuntut ilmu, Andalusia meneruskan kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) iaitu inisiatif mingguan yang menawarkan pakej umrah percuma melalui cabutan bertuah.
Antara hadiah utama yang ditawarkan termasuk kereta, motosikal dan pelbagai barangan bernilai, dengan jumlah keseluruhan hadiah melebihi RM500,000.
Cabutan bertuah diadakan setiap Sabtu semasa Karnival JIMBA, dan boleh ditonton secara langsung melalui TikTok rasmi @jimba_andalusia.







