
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak bawah usia 13 tahun belum bersedia secara emosi dan kognitif untuk mengendalikan dunia media sosial, sehubungan itu larangan memiliki akaun media sosial bagi golongan ini bukan sahaja wajar, malah perlu dipertimbangkan sebagai langkah perlindungan awal.
Pakar psikologi dari Management and Science University (MSU), Prof. Madya Dr. Siti Hazlina Alias berkata, pada peringkat usia berkenaan, kanak-kanak membina asas penting dalam kawalan emosi, tumpuan dan pemikiran kritikal.
Katanya, semua perkara tersebut boleh terganggu apabila terdedah kepada kandungan digital yang tidak sesuai.
“Kita lihat hari ini ramai murid sekolah rendah aktif di TikTok, Snapchat atau YouTube Shorts. Mereka mudah terdedah kepada isu seperti body shaming, cabaran viral berbahaya dan budaya pempengaruh yang tidak sihat.
“Tanpa panduan, ia boleh menjejaskan harga diri, kesejahteraan emosi dan meningkatkan risiko gangguan seperti kebimbangan (anxiety) dan kemurungan (depression).
“Namun, larangan semata-mata tidak mencukupi. Ia perlu disertai dengan pendidikan digital kepada ibu bapa dan penjaga, supaya mereka tahu bagaimana untuk memantau serta membimbing anak dalam dunia maya,” katanya kepada Ceritera.
Media sebelum ini melaporkan, Malaysia bakal mewajibkan semua pengendali media sosial melaksanakan pengesahan identiti eKYC (electronic Know Your Customer) bagi memastikan pengguna bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun di platform berkenaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu dibuat bagi melindungi kanak-kanak daripada bahaya di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti platform media sosial dapat dikuatkuasakan dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, Siti Hazlina berkata, sekatan ini bukan bertujuan menyekat kebebasan, tetapi melindungi.
Katanya, kebebasan tanpa panduan boleh membawa kepada pendedahan yang berbahaya, buli siber, eksploitasi, validasi emosi dari orang luar atau perbandingan sosial yang melampau.
“Secara biologinya, pendedahan terlalu lama terhadap dunia siber, permainan video boleh menyebabkan pengeluaran hormon dapamin berlebihan yang boleh merosakkan bahagian-bahagian otak penting untuk tumpuan, penyelesaian masalah dan juga emosi.
“Yang penting ialah memberi kebebasan yang berstruktur iaitu membenarkan anak menggunakan teknologi untuk belajar, berinteraksi, dan berekspresi, tetapi dalam pemantauan orang dewasa,” katanya.
Namun, beliau berkata, masyarakat tidak boleh menafikan yang teknologi sebahagian daripada kehidupan anak-anak masa kini.
Sehubungan itu katanya, golongan ibu bapa perlu dedahkan anak-anak mereka dengan cara yang positif dan sesuai mengikut usia.
“Di rumah, ibu bapa boleh melakukan aktiviti teknologi bersama anak-anak mereka seperti mencari tugasan sekolah manakala di peringkat sekolah, pentadbir boleh mengadakan latihan literasi digital supaya mereka dapat belajar menilai, berfikir kritikal, dan menggunakan media secara beretika.
“Terdapat beberapa kaedah untuk mengawal salah guna media sosial iaitu penguatkuasaan umur pengguna yang lebih tegas oleh penyedia platform, penggunaan ‘parental control tools’ oleh ibu bapa, pendidikan awal tentang etika dan keselamatan digital dan kempen kesedaran di sekolah serta komuniti mengenai kesan psikososial media sosial,” katanya.
Siti Hazlina juga tidak menolak sekatan total terhadap teknologi boleh menimbulkan rasa ingin tahu berlebihan atau rasa terasing jika rakan sebaya mereka aktif di media sosial.
Katanya, apabila mereka mula terdedah, golongan ini tidak dapat mengawal tahap penerimaan sehingga mencetuskan rasa rasa tidak puas hati, memberontak dan konflik dalam diri dengan ibu bapa.
“Sebab itu penting adanya komunikasi terbuka, terangkan sebab larangan dibuat dan beri alternatif yang positif untuk mereka mengekspresikan diri.
“Pada zaman sekarang, memang sukar elakkan anak-anak daripada terdedah kepada media sosial. Ramai murid sekolah rendah sudah mempunyai telefon sendiri dan akaun media sosial. Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh hanya menafikan realiti ini.
“Apa yang penting ialah penerangan yang jelas dan bimbingan berterusan. Anak-anak perlu faham apa yang baik dan tidak baik, serta dilatih untuk memilih kandungan yang sesuai untuk hiburan dan pembelajaran,” katanya.
Siti Hazlina turut bersetuju dengan cadangan telefon pintar tidak sepatutnya diberikan kepada pelajar sekolah sehingga mereka menamatkan tingkatan 5, namun, peranti itu masih penting untuk memudahkan komunikasi antara ibu bapa dan anak, terutamanya dari segi keselamatan.
“Jadi, kuncinya ialah keseimbangan antara kawalan dan kepercayaan, serta memastikan hubungan komunikasi antara ibu bapa dan anak kekal terbuka dan jujur,” katanya.




