
KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd membangunkan sistem penjejak (tracker) jemaah umrah secara masa nyata sebagai inisiatif memperkasa transformasi digital syarikat dan meningkatkan keselamatan serta kecekapan pengurusan jemaah di Tanah Suci.
Menurut Lembaga Pengurusan Bahagian Umrah Andalusia, Nurhayati Mohd Rodzi berkata, sistem pintar itu bakal membolehkan pengendali menjejak lokasi dan pergerakan jemaah secara langsung.
“Aplikasi ini akan memaparkan lokasi jemaah secara masa nyata, sekali gus membantu menangani situasi luar jangka seperti jemaah tersasar, hilang dalam kesesakan atau tercicir daripada kumpulan,” katanya ketika ditemui di program MATTA Muslim Friendly Travel Fair 2025 di WTCKL, hari ini.

Beliau berkata, sistem tersebut akan dimuatkan dalam aplikasi mudah alih Andalusia yang dinaik taraf dan dijangka siap dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi.
Selain fungsi penjejakan, aplikasi digital itu juga bakal dilengkapi ciri tambahan seperti komunikasi terus antara jemaah dan pihak pengurusan, akses maklumat ibadah secara interaktif, dan antara muka mesra pengguna.
Sempena pameran pelancongan dua hari itu, Andalusia turut menawarkan diskaun sehingga RM200 seorang untuk semua pakej umrah termasuk Umrah Jimat, Umrah Sederhana Ramadan dan Umrah Jarak Dekat Musim Ramadan.

Andalusia juga meluaskan penawaran kepada pakej pelancongan luar negara ke destinasi popular seperti Eropah, Turki, Jepun, Korea, serta Muslim Tour global, dengan diskaun yang sama.
Dalam usaha menyemarakkan semangat beribadah dan memberi inspirasi kepada lebih ramai umat Islam menunaikan umrah, Andalusia melancarkan kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) yang menawarkan peluang memenangi pakej umrah percuma melalui cabutan bertuah mingguan.

Antara hadiah utama termasuk kereta, motosikal dan pelbagai barangan berharga dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000. Cabutan diadakan setiap Sabtu semasa Karnival JIMBA dan disiarkan secara langsung di TikTok rasmi @jimba_andalusia.







