
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memperuntukkan RM1 juta bagi pemberian suntikan vaksin Influenza A secara percuma kepada 12,500 pelajar di empat daerah di negeri itu, bermula minggu hadapan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, empat daerah terlibat termasuk Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling, dikenal pasti penularan penyakit itu yang memberikan risiko kepada kesihatan pelajar.
Amirudin berkata, perkara itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), selain beberapa tindakan melibatkan kes bunuh pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya serta kejadian ribut di Telok Panglima Garang, Banting, dua hari lepas.
“Suntikan vaksin Influenza A secara percuma ini akan bermula pada minggu hadapan, dan pelaksanaannya akan diketuai oleh Exco Kesihatan Awam negeri Jamaliah Jamaluddin,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao mengesahkan seorang murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, Klang meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan Influenza A.
Selain murid berusia lapan tahun itu yang disahkan meninggal dunia kira-kira 4.30 pagi, seluruh ahli keluarganya turut disahkan positif wabak terbabit.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, kejadian kes pelajar perempuan maut ditikam itu telah meninggalkan kesan trauma kepada pelajar lain di sekolah berkenaan.
Beliau berkata, insiden terbabit telah menyebabkan kehadiran pelajar ke sekolah itu selepas kejadian telah menurun.
“Bagi mengembalikan keyakinan ibu bapa, guru, dan anak-anak terhadap tahap keselamatan di sekolah serta memulihkan kesan trauma, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa, guru, dan pelajar bagi memperingati pelajar yang kehilangan nyawa.
“Selain itu, beberapa langkah pantas turut diambil seperti pendaftaran keluar masuk pelajar di sekolah, penggunaan pengesan logam, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), sistem notifikasi pintar merangkumi ibu bapa dan guru sekolah,” katanya.






