
KUALA LUMPUR: Kaukus PKS ASEAN disifatkan sebagai platform strategik menghimpunkan wakil perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari seluruh rantau bagi memperkukuh kerjasama rentas sempadan dan memperjuangkan kepentingan komuniti perniagaan serantau.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kaukus itu yang diperkenalkan sempena Forum PKS ASEAN 2025 akan menjadi pemacu dialog dasar, perkongsian pengetahuan dan tindakan bersepadu.
Beliau berkata, inisiatif itu penting untuk memperkasa PKS dalam menghadapi cabaran pendigitalan, agenda kemampanan dan perubahan dinamik global.
“Dengan menghimpunkan ASEAN, persatuan PKS dari seluruh rantau ASEAN akan bertindak sebagai platform strategik dan bersama untuk menyuarakan cabaran bersama, bertukar-tukar amalan terbaik serta bersama-sama merangka hala tuju dasar yang akan membentuk masa depan landskap ekonomi serantau,” katanya semasa merasmikan Forum PKS ASEAN 2025 di sini hari ini.
Ramanan berkata, dalam keadaan ketidaktentuan global pada masa ini seperti ketegangan geopolitik yang semakin memuncak, perang perdagangan yang berlarutan dan gangguan rantaian bekalan, PKS perlu berfikir dan bertindak dengan berani untuk memanfaatkan peluang besar daripada rangkaian perjanjian perdagangan bebas yang semakin berkembang sama ada dalam kalangan negara ASEAN dan rakan strategik global.
“Paling utama adalah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) transformatif yang menjadi pencetus perubahan dalam perdagangan serantau.
“Perjanjian itu bukan sekadar laluan akses ke pasaran baharu. Ia adalah gerbang untuk mempercepat pertumbuhan, inovasi dan kerjasama rentas sempadan yang dinamik serta boleh meningkatkan PKS serantau untuk menjadi pemain global,” katanya.
Katanya, bagi merebut peluang berkenaan, PKS perlu berinovasi dan menyesuaikan dengan pendigitalan memandangkan ia adalah ‘pasport’ ke pasaran global dan bagi meneraju dan berkembang maju dalam transformasi ekonomi ASEAN.





