
SHAH ALAM: Seorang murid lelaki tahun satu cedera selepas dipukul oleh dua pelajar darjah tiga di sebuah sekolah di Seksyen 32, Shah Alam, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku pada waktu rehat kira-kira pukul 3 petang di kawasan kantin sekolah.
Susulan insiden tersebut, ibu mangsa membuat laporan polis pada pukul 9.51 malam hari yang sama.
“Mangsa kini menerima rawatan lanjut di Hospital Shah Alam dan keadaannya dilaporkan stabil. Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya kepada media hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mohd. Iqbal menambah, siasatan lanjut dijalankan termasuk mengenal pasti punca kejadian serta tahap kecederaan yang dialami murid berusia tujuh tahun itu.
Beliau menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nor Sabryna Mohammad Taha di talian 014-5130450.
Sebelum ini, tular sebuah video yang memaparkan seorang murid dimasukkan ke hospital dipercayai akibat dipukul oleh dua pelajar darjah tiga pada waktu rehat.




