
PUTRAJAYA: Berita baik untuk rakyat! Seramai 8.8 juta penerima akan menerima bayaran Fasa 4 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 bermula esok, lebih awal daripada jadual asal yang ditetapkan pada pertengahan November.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan mempercepatkan penyaluran bayaran ini sempena sambutan Deepavali, sebagai usaha meringankan beban kewangan rakyat.
Bagi Fasa 4 ini, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion, dengan kadar bayaran sehingga RM700, bergantung kepada kategori kelayakan.
Turut menerima manfaat ialah 200,000 pemohon baharu yang telah diluluskan dan akan mula menerima bayaran mulai 13 November 2025.
“Berbanding Fasa 1 pada Januari lalu, jumlah penerima kini meningkat sebanyak 500,000, hasil pembukaan permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun.
“Ini bukti tekad kerajaan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada limpahan hasil negara,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.
Katanya, kerajaan akan terus membuka pendaftaran STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2026 sepanjang tahun, bagi memberi ruang lebih ramai rakyat memohon dan menikmati bantuan kerajaan.
Dalam Belanjawan MADANI Keempat yang diumumkan pada 10 Oktober lalu, peruntukan gabungan STR dan SARA bagi tahun 2026 ditetapkan sebanyak RM15 bilion, menjadikannya antara bantuan sosial terbesar dalam sejarah negara.
Data penerima sedia ada akan dimasukkan secara automatik ke dalam sistem kerajaan dan disemak semula menggunakan data agensi-agensi berkaitan untuk kelayakan STR dan SARA 2026.
“Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan, malah mengurangkan risiko keciciran bantuan dan memastikan ia terus sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” jelas Anwar.
Kementerian Kewangan turut memaklumkan orang ramai boleh membuat semakan status kelulusan dan bayaran melalui Portal Rasmi STR di pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my
.
Penerima turut diingatkan supaya berwaspada dengan pautan palsu dan penipuan, terutamanya melalui SMS atau WhatsApp. MOF menegaskan pihaknya tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui saluran tidak rasmi.





