
SHAH ALAM: Seorang murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, Klang meninggal dunia awal pagi semalam dipercayai akibat jangkitan Influenza A, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap penularan wabak itu dalam komuniti.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, mangsa, seorang murid istimewa berusia lapan tahun, disahkan meninggal dunia pukul 4.30 pagi.
“Pihak kami menerima laporan mengenai kematian kanak-kanak itu menjelang waktu Subuh.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dijangkiti Influenza A dan seluruh ahli keluarganya juga positif wabak sama,” katanya.
Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjalankan langkah pencegahan termasuk pemeriksaan terhadap semua ahli keluarga mangsa serta pemantauan rapi bagi mengawal risiko penularan di kawasan tersebut.
Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan tiada unsur jenayah dikesan.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap gejala penyakit berjangkit seperti Influenza A serta segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom seperti demam panas, batuk atau sesak nafas, terutamanya melibatkan kanak-kanak dan golongan berisiko.







