
KUALA LUMPUR: Nik Nazmi Nik Ahmad menegur Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kerana didakwa mengumumkan pelan reformasi pendidikan secara tergesa-gesa tanpa memahami sepenuhnya akar kepada krisis yang melanda sistem pendidikan negara.
Menurutnya, pengumuman kementerian berkaitan lima pendekatan reformasi segera hanya menyentuh permukaan dan tidak menangani punca sebenar permasalahan yang membelenggu sekolah-sekolah di negara ini.
“Kegusaran ibu bapa bukan semata-mata kerana insiden buli atau jenayah di sekolah, tetapi kerana mereka tertanya-tanya apa sebenarnya yang sedang berlaku dalam sistem pendidikan kita.
“Masalah utama bukan ketiadaan dasar atau pekeliling, tetapi budaya dan sistem yang gagal menyokong guru serta pelajar. Pendekatan lima perkara itu hanya menyentuh simptom, bukan akar masalah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Nazmi turut memetik kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Azam Ahmad yang sebelum ini mengakui wujud kes yang ‘disapu di bawah karpet’, sebagai tanda jelas wujudnya kegagalan pentadbiran dalam menyediakan ruang selamat kepada warga sekolah untuk bersuara tanpa rasa takut.
Katanya, isyarat awal seperti peningkatan kadar keciciran pelajar dan ketidakhadiran semasa peperiksaan sering kali dipandang ringan sehingga berlaku tragedi yang mengejutkan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan seorang menteri pendidikan mesti turun ke lapangan, mendengar sendiri suara warga sekolah, dan memahami tekanan harian yang ditanggung guru-guru.
“Menteri sepatutnya mempertahankan mereka yang berusaha memperbaiki keadaan — bukan melemahkan mereka demi kepentingan politik,” katanya.
Nik Nazmi turut menyuarakan kebimbangan terhadap kegagalan pendidikan moral, agama dan sivik dalam membentuk budaya saling menghormati serta empati dalam kalangan pelajar. Beliau menggesa agar ekosistem pendidikan dibina semula berlandaskan kepercayaan kepada guru, keselamatan pelajar dan nilai-nilai kemanusiaan.
“Akhirnya, menteri mesti bertanggungjawab, bukan pegawai, bukan guru. Akauntabiliti tidak boleh dialihkan kepada orang lain,” tegas beliau.
Semalam, Fadhlina di Dewan Rakyat mengumumkan lima komponen utama reformasi segera pendidikan bagi menjadikan sekolah lebih selamat, antaranya penekanan kepada kesihatan mental, larangan membawa bahan terlarang dan berbahaya, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, Polisi Perlindungan Kanak-kanak (CPP), serta bimbingan dan sokongan oleh guru.
Beliau turut menafikan kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan disalah tafsir sebagai cubaan menutup salah laku di sekolah. Sebaliknya, jelasnya, ada kes yang telah diketahui oleh pihak sekolah tetapi tidak dianggap serius, justeru tindakan segera tidak diambil.





