
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM-43) telah mencapai beberapa inisiatif penting dalam mesyuarat yang bermula secara rasmi hari ini dalam memacu masa depan tenaga ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, pencapaian tersebut mencerminkan tekad ASEAN untuk mempercepatkan peralihan tenaga ke arah pembangunan yang mampan dan inklusif tanpa meminggirkan mana-mana negara anggota atau komuniti.
Beliau yang merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menambah, AMEM-43 memperakukan Pelan Tindakan bagi Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2026–2030 yang menetapkan sasaran serantau baharu.
Katanya, antara inisiatif penting adalah kelulusan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dipertingkatkan mengenai Grid Kuasa ASEAN (APG) yang bertujuan untuk mengukuhkan sambungan serantau.
“Selain itu, AMEM-43 meluluskan Perjanjian Rangka Kerja Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA)dan Pelancaran Inisiatif Pembiayaan APG, yang disokong Bank Pembangunan Asia (ADB) serta Bank Dunia dengan komitmen gabungan melebihi AS$12 bilion.
“Rangka Kerja REC untuk ASEAN dan Rangka Kerja Pembangunan Loji Janakuasa Nuklear, Pelancaran Pangkalan Data Kecekapan Tenaga ASEAN dan Platform Pelaburan serta penubuhan ASEAN School of Regulation (ASR), yang akan diterajui oleh Malaysia,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian AMEM-43 dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF 2025) di sini hari ini.
Majlis berkenaan telah dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Fadillah menjelaskan, Malaysia kekal komited sepenuhnya terhadap visi bersama tersebut dan berbangga kerana telah membantu meletakkan asas bagi inisiatif seperti sambungan Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS) dan Inisiatif Pembiayaan APG yang akan memacu pelaburan, inovasi serta kemakmuran serantau.
“Melangkah ke hadapan, bersama-sama kita sebagai ASEAN akan terus menyelaras projek, menyeragamkan piawaian teknikal dan menterjemahkan perancangan kepada hasil yang nyata.
“Ini mencerminkan keyakinan bersama kita bahawa dasar nasional mesti saling melengkapi matlamat serantau, kerana nasib kita sememangnya saling berkait,” katanya.




