
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Kelantan mencatatkan peningkatan pagi ini, manakala angka di Pahang terus menurun dan di Johor kekal.
Di Terengganu, jumlah mangsa banjir di dua daerah meningkat kepada 1,391 orang daripada 369 keluarga setakat pukul 9 pagi, berbanding 1,202 orang daripada 340 keluarga petang semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPB) Terengganu memaklumkan, daerah Kemaman mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,140 orang daripada 298 keluarga ditempatkan di tujuh PPS.
Di Dungun, seramai 151 mangsa daripada 71 keluarga ditempatkan di dua PPS, iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Serbaguna Kampung Shukor.
Berdasarkan laman web publicinfobanjir.water.gov.my, paras air di tiga stesen sungai melepasi tahap berjaga-jaga iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu; Sungai Tersat di Kampung Sekayu (F1), Hulu Terengganu; dan Sungai Nerus di Kampung Bukit (F1).
Di Kelantan pula, Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri memaklumkan jumlah mangsa meningkat kepada 77 orang daripada 23 keluarga setakat pagi tadi berbanding 74 mangsa daripada 22 keluarga semalam.
Kesemua mangsa ditempatkan di empat PPS di Kuala Krai iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Laloh, SK Lela Jasa, SK Manek Urai Lama dan Madrasah Manek Urai Lama.
Di Pahang, jumlah mangsa banjir terus menunjukkan penurunan dengan 11,166 orang daripada 3,677 keluarga ditempatkan di 68 PPS pagi tadi berbanding 12,226 orang daripada 4,052 keluarga di 79 PPS petang semalam.
Kuantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 9,645 orang di 44 PPS, diikuti Pekan (1,045 orang di 10 PPS), Rompin (226 orang di tiga PPS), Jerantut (154 orang di empat PPS), Temerloh (53 orang di tiga PPS), Maran (21 orang di dua PPS), Bera (17 orang di satu PPS) dan Lipis (lima orang di satu PPS).
Di Johor, jumlah mangsa yang masih ditempatkan di tiga PPS di Mersing kekal 356 orang daripada 93 keluarga setakat 8 pagi tadi.
Pengerusi JPBN Johor, Asman Shah Abd Rahman, berkata PPS berkenaan ialah SK Pusat Air Tawar (148 mangsa daripada 36 keluarga), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Ching (139 mangsa daripada 44 keluarga) dan SK Labong (69 mangsa daripada 13 keluarga).
Katanya, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat dilaporkan melebihi paras bahaya dengan bacaan 8.80 meter, namun cuaca diramalkan cerah di semua 10 daerah pagi ini.







