KUALA LUMPUR: Tiada larangan dikenakan terhadap premis halal untuk menggunakan hiasan perayaan bukan Islam, selaras keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, penggunaan hiasan terbabit tertakluk kepada syarat tertentu termasuk tidak menjejaskan prinsip halalan thoyyiban serta tidak memaparkan logo atau sijil pengesahan halal.
“Hiasan selain daripada agama Islam pada produk makanan yang bersifat tidak kekal adalah dibenarkan, tetapi penggunaan peralatan sembahan tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan.
Zulkifli menjelaskan, keputusan Jakim itu terpakai khususnya kepada dekorasi perayaan di dapur atau outlet hotel yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Beliau menegaskan kepatuhan kepada piawaian halal sedia ada perlu diutamakan tanpa menjejaskan keharmonian kaum, selaras dengan sifat menghormati kepelbagaian budaya dan agama di negara ini.
Zulkifli turut menasihatkan pengusaha hotel dan premis makanan halal agar sentiasa merujuk pihak berkuasa pensijilan halal bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap garis panduan ditetapkan.
“Kerjasama erat antara pihak berkuasa Islam negeri, Jakim dan pemain industri amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar halal dijalankan secara berhemah,” katanya.
Isu larangan ini timbul susulan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, menyeru Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) meneliti semula keputusan larangan hiasan perayaan bagi premis halal di negeri itu.
Akmal menegaskan penentuan halal makanan dan minuman bergantung sepenuhnya kepada sumber bahan dan cara penyediaan, bukan elemen dekorasi premis.
Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee daripada DAP, turut menggesa kerajaan Melaka mengesahkan status hiasan Krismas bagi premis makanan dan hotel yang mempunyai sijil halal.
Beliau mencadangkan Jaim menarik balik larangan tersebut bagi memastikan keharmonian masyarakat majmuk terus terpelihara.
Sebelum ini, tular surat pekeliling Jaim yang menyatakan larangan hiasan Krismas di premis hotel atau cawangan di Melaka yang mempunyai sijil halal, dengan alasan Krismas adalah sambutan keagamaan dan bukan kebudayaan yang boleh menimbulkan isu berkaitan akidah.
