
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas dirempuh sebuah kereta yang mengundur dan dipandu bapanya dalam kejadian di Tangkak, Johor, kelmarin.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada pukul 7.30 malam hari sama akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintendan Jamellulkamal Abdul Halim berkata, kejadian berlaku pukul 8.15 pagi ketika bapa mangsa berusia lingkungan 30-an mengalih kenderaan.
Katanya, lelaki terbabit menyedari melanggar sesuatu di bahagian belakang kenderaan sebelum segera memberhentikan kereta berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu secara tiba-tiba keluar dari dalam rumah dan berada di belakang kereta tanpa disedari bapanya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dialami.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Khairul Azmi Ibrahim bagi membantu siasatan.







