KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar makmal haram memproses dadah dipercayai didalangi sindiket antarabangsa selepas menyerbu beberapa premis kediaman dan perindustrian di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya turut menahan masing-masing tiga lelaki dan wanita warga asing berusia 24 hingga 39 tahun dalam serbuan itu dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM1.53 bilion.
“Hasil serbuan terbabit, polis merampas 18,537 kilogram dadah jenis kokain, ketamin dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) disyaki mampu merosakkan 68.5 juta pengguna.
“Kita percaya sindiket ini aktif sejak April lepas dan disyaki menggunakan pelbagai cara untuk mengedar dadah termasuk menggunakan kaedah kontena dengan mengisytiharkan maklumat palsu dalam borang kastam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Hussein menambah, pihaknya turut merampas dan menyita tiga kereta, dua kenderaan Forklift dan sebuah lori dianggarkan bernilai RM389,000.
Katanya, tiga lelaki tempatan terbabit disyaki bertindak sebagai penjaga stor serta menguruskan rumah kediaman dan premis perniagaan yang dijadikan makmal haram memproses dadah, manakala tiga wanita warga asing ialah teman wanita mereka.
“Ujian saringan air kencing mendapati tiga lelaki positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine serta seorang daripada mereka mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.
“Kesemua mereka direman tujuh hari hingga 23 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 19532,” katanya.
Beliau menjelaskan, kejayaan tersebut merupakan hasil risikan berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta kerjasama orang awam.
Tegasnya, PDRM tidak akan berkompromi dengan pihak yang terlibat pengedaran dadah, memiliki, atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.
