
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah menggerakkan inisiatif NADI on Wheels (NOW) ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bukit Setongkol bagi menyokong keperluan digital dan kebajikan komuniti yang terjejas akibat bencana banjir di negeri Pahang.
Dalam kenyataan media, MCMC berkata, antara perkhidmatan yang disediakan kepada mangsa banjir di PPS tersebut termasuk kemudahan internet percuma, saringan kesihatan asas dan aktiviti Program Perkhidmatan Pintar NADI.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan mangsa kekal berhubung, memperoleh maklumat yang tepat serta dapat meneruskan urusan penting walaupun berada dalam situasi bencana.
“Pengoperasian NOW ini dilaksanakan susulan peningkatan bilangan kawasan terjejas banjir serta pengaktifan beberapa PPS di negeri berkenaan,” kata kenyataan itu.
MCMC menambah, perkhidmatan NOW telah digerakkan ke PPS Bukit Setongkol bagi membantu mangsa banjir khususnya dari aspek akses digital dan sokongan berasaskan komuniti bermula semalam.
Jelasnya, ia dilengkapi satelit Starlink, tenaga solar mudah alih, komputer riba, tablet, projektor serta kemudahan Wi-Fi percuma.
“NOW berperanan sebagai pusat perkhidmatan bergerak yang membawa kemudahan teknologi terus kelapangan.
“Pendekatan ini memastikan kesinambungan akses digital dapat dikekalkan sekali gus menyokong kesejahteraan komuniti terjejas,” ujarnya lagi.
MCMC akan terus memantau situasi semasa dan bersedia menggerakkan perkhidmatan NOW ke PPS lain yang dikenal pasti dari semasa ke semasa selaras peranan NADI sebagai Pusat Sebaran Maklumat Nasional.
NOW merupakan inisiatif di bawah MCMC yang berfungsi sebagai platform perkhidmatan bergerak bagi menyediakan capaian internet serta sokongan kepada komuniti secara terus di lapangan terutama kepada golongan rentan, pedalaman dan lokasi yang terkesan akibat bencana.






