
SEREMBAN: Pelajar tingkatan dua yang maut dipercayai dibuli di asrama sebuah sekolah di Kuala Pilah, Jumaat lalu, dipukul menggunakan getah paip sebelum ditemui tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan mendapati mangsa, Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq, 14, dipukul dua pelajar tingkatan empat yang merupakan seniornya.
Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai memukul mangsa di badan dan menyebat tapak kakinya menggunakan getah paip beberapa kali.
Katanya, kejadian dipercayai bermula apabila suspek mengarahkan mangsa mengambil getah paip di bilik air sebelum membawanya ke bilik asrama di tingkat dua.
“Mangsa dipercayai dipukul terlebih dahulu di bilik suspek kedua di tingkat satu sebelum dibawa ke bilik suspek utama di tingkat dua.
“Mangsa kemudian diarahkan duduk sebelum tapak kakinya dipukul beberapa kali menggunakan getah paip.
“Selepas itu, mangsa diminta berdiri dan membuka baju sebelum dipukul menggunakan tangan di bahagian depan dan belakang badan sehingga terjatuh,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Muhammad Idlan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Alzafny berkata, hasil bedah siasat terhadap mangsa masih belum dapat menentukan punca kematian dan sampel berkaitan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis.
Setakat ini, polis sudah merakam keterangan 69 saksi terdiri daripada 53 pelajar, empat guru, tiga warden, enam ibu bapa, dua doktor dan seorang jurulatih tinju.
“Suspek pertama direman selama enam hari dan tempoh reman berakhir esok, manakala suspek kedua direman dari 28 September hingga 3 Oktober ini,” katanya.
Menurutnya, selepas mengalami kecederaan, mangsa dibaringkan di atas katil sebelum salah seorang suspek cuba memberikan bantuan pernafasan selepas melihat keadaan mangsa semakin kritikal.
Suspek kemudian menghubungi warden sebelum mangsa dibawa ke HTAN.
Katanya, polis masih belum dapat memastikan sama ada mangsa meninggal dunia ketika berada di asrama atau dalam perjalanan ke hospital.
Alzafny berkata, dua suspek terbabit merupakan rakan sekelas mangsa dalam aktiviti sukan memanah.
Beliau berkata, kejadian berlaku selepas solat Maghrib Jumaat lalu, ketika semua pelajar sepatutnya mengikuti sesi ulang kaji atau ‘prep’ di asrama masing-masing.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa menghisap vape yang dikesan oleh warden sekolah pada 23 September lalu.
“Tindakan dilakukan dua suspek itu dipercayai sebagai hukuman susulan yang dikenakan terhadap mangsa selepas dia ditangkap menghisap vape oleh warden sekolah pada 23 September lalu,” katanya.
Polis kini meneruskan siasatan bagi melengkapkan siasatan kes, termasuk menunggu keputusan analisis sampel yang dihantar ke Jabatan Kimia bagi membantu menentukan punca sebenar kematian mangsa.







