
PUTRAJAYA: Bayi yang dilahirkan tahun ini secara purata dijangka menikmati jangka hayat sehingga 75.5 tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Berdasarkan Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2024-2026 yang dikeluarkan DOSM hari ini, bayi perempuan mempunyai jangkaan hayat lebih panjang iaitu 78.1 tahun, berbanding lelaki sebanyak 73.2 tahun.
Ini bermakna secara purata, bayi perempuan yang lahir pada 2026 dijangka hidup 4.9 tahun lebih lama berbanding bayi lelaki.
Menurut DOSM, Selangor merekodkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan bagi tempoh 2024 hingga 2026.
Sebaliknya, Terengganu mencatatkan jangkaan hayat terendah dalam tempoh sama.
“Terdapat tiga negeri yang mempunyai jangkaan hayat melebihi jangkaan hayat paras nasional pada 75.5 tahun pada 2026,” menurut DOSM.
Tiga negeri berkenaan ialah Selangor dengan 78.2 tahun, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (77.3 tahun) dan Wilayah Persekutuan Labuan (77.0 tahun).
DOSM turut memaklumkan jangkaan hayat ketika lahir menunjukkan beberapa perubahan dalam tempoh sedekad lalu.
Pada 2019, jangkaan hayat meningkat 0.4 tahun berbanding 2016, dengan lelaki meningkat daripada 72.1 kepada 72.5 tahun.
Jangkaan hayat perempuan turut meningkat sebanyak 0.4 tahun dalam tempoh sama.
Bagaimanapun, jangkaan hayat ketika lahir pada 2022 menyaksikan penurunan sebanyak 0.9 tahun berbanding 2020.
Dalam tempoh berkenaan, jangkaan hayat lelaki menurun 1.0 tahun, manakala perempuan susut 0.8 tahun.
Menurut DOSM, penurunan itu berlaku dalam tempoh pandemik Covid-19 yang menyaksikan peningkatan jumlah kematian.
Namun, perkembangan selepas pandemik menunjukkan trend berbeza.
Pada 2026, jangkaan hayat ketika lahir meningkat 1.5 tahun berbanding 2023.
“Peningkatan jangkaan hayat ini disebabkan jumlah kematian yang menurun bagi tempoh 2023 hingga 2026 berbanding 2020 hingga 2022 yang mana berlakunya lebihan kematian semasa pandemik Covid-19,” menurut kenyataan itu.
Angka berkenaan turut memberikan gambaran mengenai jangka hayat penduduk yang sudah mencapai usia tertentu.
Bagi lelaki berusia 15 tahun pada 2026, mereka dijangka hidup selama 59 tahun lagi, menjadikan jangkaan umur keseluruhan sehingga 74 tahun.
Sementara lelaki yang mencapai usia 60 tahun pada tahun ini dijangka hidup 18.9 tahun lagi, iaitu sehingga sekitar usia 78.9 tahun.
Bagi perempuan pula, mereka yang berusia 15 tahun pada 2026 dijangka hidup 63.7 tahun lagi, menjadikan jangkaan hayat keseluruhan sehingga 78.7 tahun.
Perempuan yang mencapai usia 60 tahun pula dijangka hidup 21.7 tahun lagi, atau sehingga sekitar usia 81.7 tahun.
Secara keseluruhannya, statistik itu menunjukkan jangkaan hayat penduduk Malaysia kembali meningkat selepas mengalami penurunan ketika tempoh pandemik Covid-19, dengan wanita terus mencatatkan jangkaan hayat lebih tinggi berbanding lelaki.





