
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam untuk menjalani pemerhatian, kata anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Mokhzani berkata, keadaan bapanya ketika ini baik dan tidak membimbangkan, namun keputusan memasukkannya ke IJN dibuat bagi membolehkan beliau mendapat perhatian selepas pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.
“Beliau dimasukkan ke IJN untuk pemerhatian. Dua hari lepas sangat menekan. Buat masa ini, beliau okey dan tidak dalam keadaan yang merisaukan,” katanya.
Dr. Mahathir, 101, sebelum ini berada di IJN bagi menemani Dr. Siti Hasmah yang menerima rawatan di institusi berkenaan sebelum Allahyarham meninggal dunia pada 28 September lalu.
Allahyarham Dr. Siti Hasmah, 100, menghembuskan nafas terakhir di IJN pada pagi 28 September sebelum jenazahnya dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada hari sama menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
Menurut laporan Bernama, Dr. Mahathir turut hadir pada istiadat pengebumian itu dan membacakan doa serta menabur bunga di pusara isterinya.
Mokhzani sebelum ini berkata keluarganya terkejut dengan pemergian Dr. Siti Hasmah kerana Allahyarham kelihatan ceria ketika menerima rawatan di IJN sehari sebelum itu.
Seorang lagi anak Dr. Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini berkata bapanya berada di IJN untuk menemani isterinya sepanjang menerima rawatan.
Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 dan tahun ini genap 70 tahun usia perkahwinan mereka.
Pasangan berkenaan dikurniakan tujuh cahaya mata.





