
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti kandungan di media sosial yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi rakaman Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berduka atas pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
MCMC memaklumkan pihaknya telah berhubung dengan platform media sosial berkaitan kandungan berkenaan.
“Sekiranya hasil penelitian mendapati adanya pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, penggunaan teknologi untuk memanipulasi rakaman sebenar sehingga boleh mengelirukan orang ramai, memesongkan konteks sesuatu peristiwa atau menjejaskan maruah individu dan keluarga merupakan perkara yang tidak wajar dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan saat kehilangan dan kedukaan.
MCMC turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan yang dimanipulasi sehingga boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan pihak lain.
Orang ramai juga digalakkan menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum berkongsi dan melaporkan kandungan yang disyaki telah dimanipulasi kepada platform atau pihak berkuasa berkaitan.
MCMC berkata kemajuan AI membuka banyak manfaat kepada masyarakat, namun penggunaannya perlu disertai tanggungjawab.
“Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan MCMC itu dibuat susulan penyebaran kandungan media sosial yang memanipulasi rakaman Dr Mahathir dalam suasana kedukaan selepas kehilangan isterinya.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada 28 Sept lepas, pada usia 100 tahun.
Sebelum ini, isu penyalahgunaan AI dan teknologi deepfake telah menjadi perhatian pihak berkuasa dan, pada Mac lepas, kerajaan dilaporkan telah mengakui teknologi berkenaan semakin digunakan bagi menghasilkan kandungan palsu dan dimanipulasi termasuk menggunakan imej serta suara tokoh awam.
Kerajaan ketika itu memaklumkan bahawa MCMC mengambil tindakan terhadap kandungan dalam talian yang membabitkan kepentingan awam, jenayah, penyalahgunaan, ancaman dan provokasi, selain bekerjasama dengan platform media sosial serta agensi penguat kuasa. – BERNAMA





