
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) yakin dan percaya terhadap komitmen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyiasat pegawai mereka sendiri dan menyelesaikan kes dalaman secara terpuji.
Tindakan SPRM perlu disokong semua lapisan masyarakat, kata Presidennya Jais Abdul Karim dalam satu kenyataannya di sini hari ini (21 September).
“Agensi penguatkuasaan seperti SPRM pastinya tidak akan berkompromi jika anggota mereka disyaki terlibat walau dalam apa jenis jenayah sekalipun. Anggota tersebut perlu disiasat dengan teliti dan dihukum jika benar-benar didapati bersalah,” kata beliau.
Jais berkata demikian ketika mengulas tentang penahanan tiga pegawainya yang terlibat dalam salah laku berkaitan bahan kes wang tunai berjumlah AS$6 juta milik Hasanah Abdul Hamid, bekas ketua pengarah badan Perisikan Luar Negara.
Beliau berkata, penahanan pegawai sendiri pasti memberikan kesan yang mendalam kepada semua anggota di agensi penguatkuasaan bahawa mereka bukanlah ‘kebal’ dan tidak boleh disentuh oleh sesiapapun.
Jais menambah, masyarakat juga sedar bahawa pegawai agensi penguat kuasa juga bukanlah malaikat yang tidak pernah berbuat salah atau ‘maksum’ (benar-benar bersih) daripada sebarang kesalahan.
Beliau menyarankan rakyat Malaysia sentiasa dididik dan disedarkan tentang kewujudan lima mekanisme tanggungjawab yang telah dibentuk dan dilaksanakan bagi bertindak sebagai badan pemantau (oversight committee) dalam tugas semak dan imbang (check and balance) terhadap perjalanan SPRM dalam melaksanakan fungsi dan peranannya.
“Pembentukan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Jawatankuasa Aduan (JKA) telah dibuat melalui peruntukan undang-undang. Manakala pembentukan Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) pula dibuat secara pentadbiran.”
Jais berkata, kelima-lima badan khas ini diwujudkan bertujuan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam keseluruhan perjalanan SPRM.
“Mekanisme ini akan dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti Suruhanjaya dalam pelaksanaan kewajipan undang-undang yang telah ditetapkan.
“Persepsi yang positif terhadap kewibawaan SPRM dan Kerajaan akan memudahkan usaha meraih sokongan dan kerjasama masyarakat dalam membanteras jenayah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan,” jelas beliau.
“Kita juga perlu sedar bahawa terdapat lebih daripada 180,000 pegawai pelbagai agensi penguatkuasaan di seluruh negara, namun jika hanya segelintir yang tersalah langkah, ini bukanlah bermakna semuanya rosak dan tidak amanah!
“Tindakan tatatertib dan perundangan yang tegas mesti diambil terhadap mereka yang terbabit dan walaupun perkhidmatan mereka kepada negara ini juga penting.”
Beliau berkata, tindakan segera dan tegas agensi penguatkuasaan seperti SPRM ini adalah gerakan pembersihan yang amat dinanti-nantikan oleh semua rakyat Malaysia dalam usaha memastikan pelbagai jenayah dapat dibasmi di negara ini.
Sumber – BebasNews