
SHAH ALAM: Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) telah bersetuju untuk meluluskan garis panduan perancangan bandar rendah karbon dan berdaya tahan perubahan iklim.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat MNKT ke-85 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Exco Kerajaan Negeri, menteri-menteri Persekutuan yang berkaitan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Menurut kenyataan tersebut, garis panduan itu akan menjadi dokumen penting untuk mendepani perubahan iklim dalam perancangan bandar melalui penyediaan rancangan pemajuan khususnya Rancangan Tempatan (RT) yang mengarus perdana strategi rendah karbon.
“Ini seterusnya akan membantu aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara GHG sifar bersih seawal-awalnya pada tahun 2050,” katanya pada Isnin.
Tambah KPKT, MNKT turut bersetuju dengan beberapa cadangan lain antara pelaksanaan perintah khidmat masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah kecil melalui Rang Undang-Undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025, Rang Undang-Undang Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 dan RangUndang-Undang Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025.
Jelasnya, cadangan seterusnya adalah penambahbaikan kriteria naik taraf Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Dalam masa sama, mesyuarat MNKT kali ini turut mengambil maklum mengenai penambahbaikan permohonan penubuhan hospital swasta di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] serta permohonan kelulusan persembahan artis luar negara kategori konsert,”ujarnya.
KPKT turut memberitahu mesyuarat MNKT merupakan medium perundingan bagi penggubalan dasar dan perundangan berkaitan hal ehwal Kerajaan Tempatan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri selaras dengan Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan-keputusan dasar dan perkara-perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat MNKT akan dibawa untuk perhatian Kerajaan Negeri sebelum ia dilaksanakan di peringkat Kerajaan Tempatan,” jelasnya