
PUTRAJAYA: Pasukan pemantau khas Majlis Sukan Negara (MSN) memantau rapi situasi banjir di Songkhla, Thailand yang dikhuatiri menjejaskan beberapa venue Sukan SEA 2025, dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pasukan itu telah digerakkan selepas bencana tersebut dilapor semakin membimbangkan dengan fasiliti sukan kritikal terjejas dan berisiko dipindahkan sekiranya paras air terus meningkat.
“Kami perlukan maklumat tepat dari lapangan, sebab itu pasukan pemantau dihantar segera untuk menilai tahap kerosakan dan risiko kepada atlet,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Belia: Bantuan Awal Menangani Tingkah Laku Bunuh Diri Belia hari ini.
Hannah berkata, keselamatan atlet negara dan pegawai kekal menjadi keutamaan KBS.
“Saya sudah berhubung dengan KLN (Kementerian Luar) mengenai isu keselamatan, dan buat masa ini kita akan terus mendapatkan pandangan daripada KLN sebelum bergerak. Beri kami sedikit masa untuk berhubung dengan sekretariat,” katanya.
Beliau berkata, Songkhla merupakan lokasi untuk sukan tempur dan lokasi yang dilapor terkesan adalah untuk acara bola sepak.
“Kita perlu memberi Thailand sedikit masa kerana dalam tempoh bencana ini, banyak persediaan dan kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan di sana. Jadi kita tidak seharusnya menekan pihak mereka.
“Biar mereka (Thailand) selesaikan dahulu urusan penyelamatan. Yang penting, MSN sedang berhubung rapat dengan sekretariat di sana,” katanya.





