
KUALA LUMPUR: Sebanyak 40 anugerah berprestij disampaikan pada Majlis Malam Gala HRD Awards 2025, sekali gus mengangkat pencapaian cemerlang para perintis pembangunan modal insan negara.
Acara anjuran Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu berlangsung di Pusat Dagangan & Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) malam tadi dan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd. Yusof.
Sejak diperkenalkan pada 2001, HRD Awards kekal sebagai platform pengiktirafan paling berprestij dalam ekosistem pembangunan sumber manusia negara.
Edisi kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila menerima 770 penyertaan, jumlah tertinggi sejak penganjurannya bermula dan meningkat sebanyak 277 penyertaan berbanding 493 pada tahun lalu.
“Peningkatan penyertaan itu membuktikan kesedaran semakin tinggi bahawa modal insan merupakan tunjang kepada pembangunan negara yang mampan dan inklusif.
“Tidak kiralah sejauh mana majunya teknologi atau infrastruktur, akhirnya kemahiran, kreativiti dan daya tahan rakyat kita jugalah yang menentukan masa depan negara.
“Pencapaian ini menggambarkan reputasi HRD Awards sebagai penanda aras nasional dalam mengiktiraf kecemerlangan komuniti pembangunan modal insan,” kata Azman.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan dan menerusi ucapannya, beliau menekankan HRD Awards saban tahun mengiktiraf majikan, penyedia latihan dan individu yang telah melangkaui jangkaan dalam membangunkan bakat, memacu inovasi serta meningkatkan standard pembangunan tenaga kerja seluruh Malaysia.

Katanya, usaha itu bagi memastikan rakyat dari setiap pelosok negara mendapat akses kepada pembelajaran bermakna demi menghadapi perubahan pesat ekonomi moden.
“Acara berprestij ini merupakan bukti komitmen kami dalam memajukan modal insan Malaysia, sekali gus menonjolkan dedikasi, semangat dan pencapaian mereka yang menjadi peneraju dalam pembangunan sumber manusia.
“Sejak diperkenalkan pada tahun 2001, HRD Awards telah menjadi penanda aras kecemerlangan, yang mendorong organisasi dan individu menetapkan standard baharu dalam pembelajaran, pembangunan serta pemerkasaan tenaga kerja,” katanya.
Tujuh kategori utama dipertandingkan, merangkumi Human Resources Minister Award, Learning and Development Icon Award, ASEAN Year of Skills Special Recognition Award, Human Resource Development Corporation Award, Regional Excellence Award, Excellence Awards dan Learning and Development Team of the Year Award.
Para pemenang dipilih melalui proses penilaian pelbagai peringkat oleh panel pakar industri dan wakil badan utama negara bagi memastikan ketelusan dan integriti.
HRD Awards 2025 sekali lagi menegaskan komitmen Malaysia dalam melahirkan bakat bertaraf dunia dan memperkukuh agenda pembangunan modal insan, selaras aspirasi membina tenaga kerja yang berkemahiran, progresif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.







