
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan PN atas sokongan padu yang diberikan sepanjang beliau menerajui gabungan itu sejak penubuhannya lima tahun lalu.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan kepimpinan PN dan parti-parti komponennya.
Keputusan itu dibuat ketika hubungan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN dilihat bergelora susulan tindakan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis menarik sokongan terhadap ADUN Sanglang, Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.
Susulan perkembangan itu, Mohd. Shukri meletakkan jawatan dan Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Ketua Menteri Perlis yang baharu.
Terdahulu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendedahkan melalui hantaran di Facebook mengenai Muhyiddin menyatakan hasrat untuk berundur daripada jawatan Pengerusi PN bermula 1 Januari ini.
Menurut Ahmad Fadhli, langkah berkenaan disifatkan sebagai bijak dan tepat memandangkan PN memerlukan nafas serta momentum baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Beliau yakin Pas akan mencalonkan wakilnya untuk menerajui PN sebagai pengerusi baharu.
“Tidak semestinya Presiden parti, tetapi individu yang diyakini mampu menggembleng kekuatan semua parti dalam PN.
“Rombakan organisasi juga dijangka dilakukan bagi memperkukuh gerak kerja gabungan ini,” katanya.
Ahmad Fadhli turut merakamkan ucapan tahniah atas keterbukaan Muhyiddin mengambil langkah tersebut sambil mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada Pengerusi Perikatan Nasional yang baharu.





