
KUALA LUMPUR: Bintang muzik terkenal Amerika Syarikat, Beyonce melakar sejarah tersendiri apabila secara rasmi mencapai status bilionair.
Menurut laporan Forbes, Beyonce atau nama sebenarnya Beyonce Giselle Knowles-Carter menjadi pemuzik kelima dalam sejarah yang mencapai pencapaian tersebut.
Penyanyi berusia 44 tahun itu kini sebaris suaminya Jay-Z, Taylor Swift, Bruce Springsteen dan Rihanna bergelar bilionair.
Beyonce merupakan artis paling banyak memenangi Anugerah Grammy dalam sejarah malah telah mencatat kejayaan besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada tahun 2023, jelajah konsert Renaissance yang merangkumi 39 bandar dan 56 persembahan berjaya menjana lebih AS$500 juta serta menarik lebih 2.7 juta penonton.
Tahun lalu, ikon muzik antarabangsa itu melancarkan album genre country berjudul Cowboy Carter, yang dinobatkan sebagai Album Terbaik Tahun Ini pada Anugerah Grammy 2025.
Jelajah Cowboy Carter Tour mencatat kutipan melebihi AS$400 juta sekali gus menjadikan jelajah muzik country dengan kutipan tertinggi dalam sejarah.







