
KUALA LUMPUR: Selepas lebih 20 bulan Israel melancarkan perang di Semenanjung Gaza sehingga mengakibatkan kemusnahan besar-besaran dan meragut puluhan ribu nyawa, dunia sehingga kini masih ‘mengunci mulut dan memekakkan telinga’.
Sehubungan itu, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyAqsa Defenders (MyAD) mengambil inisiatif melancarkan jihad terhadap Israel menerusi tiga lapangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, jihad pertama melibatkan platform digital dengan penubuhan unit khas memerangi naratif Israel.
“Selama ini, Israel menyamar dan memanipulasi menggunakan bot Kecerdasan Buatan (AI) untuk mencetuskan kekeliruan.
“Menerusi sokongan komuniti celik digital, kami akan melancarkan operasi jejak dan bongkar akaun penyamar untuk menyebarkan kebenaran dengan fakta,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Cinta Gaza Malaysia Bersama Media, di sini hari ini.
Nadir memberitahu, jihad kedua adalah menerusi ilmu dengan mengetengahkan modul khusus untuk memberikan pemahaman kepada masyarakat awam berkaitan jihad, cabang dan tuntutannya berkenaan Palestin.
Katanya, langkah itu perlu bagi memastikan rakyat Malaysia berjuang mempertahankan Palestin berdasarkan ilmu pengetahuan dan fakta serta bukan emosi semata-mata.
“Yang ketiga ialah jihad fizikal menerusi kempen menghidupkan semula sukan-sukan sunnah seperti berenang, memanah dan berkuda secara bersistem.
“Inisiatif jihad ini akan dilancarkan di sebuah Perkampungan Gaza Bangkit Mutadha Dakwah Centre (MADAD) di Sungai Petani, Kedah pada 30 Mei ini.
“Kemudian, kami akan lakukan jerayawara (road show) ke seluruh negara sebelum ke Pakistan, Sri Lanka, Türkiye dan Indonesia,” katanya.
Beliau turut menjangkakan seramai 50,000 orang akan menghadiri majlis pelancaran jihad tersebut.





