
PUTRAJAYA: Orang ramai tidak perlu bimbang pertukaran kepada MyKad generasi baharu akan menyebabkan bantuan atau subsidi kerajaan terhenti, termasuk baki serta kelayakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Pengarah Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Muhammad Asraf Sukadi berkata, MyKad generasi baharu kekal sebagai dokumen pengenalan diri rasmi rakyat Malaysia dan boleh terus digunakan bagi urusan bantuan serta subsidi kerajaan.
Menurutnya, MyKad juga boleh digunakan sebagai medium pengesahan atau penebusan bantuan dan subsidi, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan agensi berkaitan.
“Orang ramai tidak perlu bimbang bahawa pengenalan MyKad generasi baharu akan menyebabkan bantuan atau subsidi kerajaan terhenti.
“JPN sentiasa bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan serta bantuan kepada rakyat yang layak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Asraf berkata, pertukaran kepada MyKad generasi baharu juga tidak menyebabkan baki atau kelayakan SARA hilang.
Katanya, baki dan kelayakan SARA tidak disimpan dalam MyKad sebaliknya direkodkan dalam sistem SARA.
“MyKad digunakan sebagai medium pengesahan penerima dan untuk membuat pembelian barangan keperluan asas di kedai atau pasar raya yang mengambil bahagian,” katanya.
Dalam pada itu, pemegang MyKad sedia ada tidak perlu menukarnya semata-mata kerana pengeluaran MyKad generasi baharu, kecuali sekiranya kad sedia ada rosak.
Bagaimanapun, pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad tanpa ghost image perlu menukar kepada MyKad generasi baharu.
Menurut Muhammad Asraf, pelaksanaan MyKad generasi baharu sudah mengambil kira keperluan sistem dan perkhidmatan yang menggunakan MyKad.
“Penyesuaian akan dibuat secara berperingkat bersama pihak berkaitan bagi memastikan urusan rakyat terus berjalan lancar,” katanya.
Mulai hari ini, permohonan MyKad generasi baharu boleh dibuat di 40 cawangan JPN yang dilengkapi pusat cetakan, dengan kad boleh disiapkan pada hari sama.
Bagi cawangan JPN yang tidak mempunyai kemudahan cetakan, permohonan masih boleh dibuat dengan tempoh siap lima hari bekerja.
MyKad generasi baharu turut dilengkapi ciri keselamatan termasuk Hologram Keselamatan Dinamik dan Transparent Window di bahagian hadapan.
Bahagian belakang pula dilengkapi Kod QR Penguatkuasaan serta Cip Antara Muka Dwi Fungsi bagi meningkatkan tahap keselamatan dokumen pengenalan diri berkenaan.





