
KUALA LUMPUR: Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah, susulan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung kedudukan baginda.
DKU berkata, keputusan MMKN bertarikh 16 September lalu yang mengiktiraf pemilihan Yang di-Pertuan Besar baharu adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai sebarang kesan di sisi undang-undang.
Menurutnya, MMKN tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Perkara berkaitan adat Melayu termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan jawatan atau pemecatan Yang di-Pertuan Besar serta Undang terletak dalam bidang kuasa DKU,” katanya dalam kenyataan hari ini.
DKU berkata, perkara itu diperuntukkan di bawah Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Menurutnya, nasihat DKU mengenai perkara berkenaan adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.
Sehubungan itu, DKU menegaskan keputusan MMKN yang mengiktiraf pemilihan Yang di-Pertuan Besar baharu serta mengarahkan pelaksanaannya dengan serta-merta adalah di luar bidang kuasa.
“Dengan itu, ia adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan,” katanya.
DKU turut menegaskan Proklamasi bertarikh 19 April lalu yang mendakwa menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta kekal cacat dan terbatal.
Menurut DKU, perkara itu antaranya disebabkan siasatan yang diwajibkan tidak pernah dijalankan.
Selain itu, tiga daripada empat individu yang menandatangani proklamasi berkenaan didakwa bukan Undang yang sah pada ketika itu.
Justeru, DKU berkata pegawai kerajaan negeri tidak dikehendaki melaksanakan sebarang arahan yang dibuat berdasarkan keputusan atau dokumen berkenaan.
Dalam pada itu, DKU meminta semua pihak menghormati prosiding yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Seremban.
DKU turut menegaskan tiada kekosongan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah.
“Dewan menegaskan semula bahawa DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang di-Pertua Dewan.
“Tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah,” katanya.
Kenyataan DKU itu menyusuli pengumuman MMKN Negeri Sembilan pada 16 September lalu berhubung pengiktirafan Yang di-Pertuan Besar baharu, sekali gus mencetuskan pertikaian berhubung bidang kuasa dan kesahan proses berkenaan.





