
KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri (PMO) membuat laporan polis berhubung pemalsuan surat yang didakwa sebagai kelulusan Jemaah Menteri bagi projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Menurut PMO, laporan itu turut membabitkan penyalahgunaan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta identiti rasmi pejabat berkenaan.
PMO dalam kenyataan hari ini menegaskan, surat bertarikh 17 Julai 2026 yang mendakwa Jemaah Menteri meluluskan cadangan Projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) bagi kerja pelebaran Lebuhraya PLUS adalah palsu.
“Perdana Menteri tidak pernah mengeluarkan atau menandatangani surat berkenaan.
“Pejabat Perdana Menteri juga tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dokumen serta kelulusan seperti yang didakwa,” menurut kenyataan itu.
Susulan pemalsuan berkenaan, PMO berkata tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit.
PMO turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan dokumen berkenaan, selain tidak menyebarkan atau berkongsi kandungannya.
“Tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat,” katanya.
Pemalsuan dokumen berkenaan turut membabitkan penggunaan identiti rasmi PMO yang boleh mengelirukan orang ramai berhubung status sebenar projek pelebaran Lebuhraya PLUS.
PMO menegaskan orang ramai perlu berhati-hati dengan sebarang dokumen yang menggunakan nama atau identiti rasmi kerajaan, khususnya yang mendakwa mempunyai kelulusan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.







