
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak masih belum melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan sebagai syarat membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, bayaran denda berkenaan perlu dibuat di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum proses tahanan rumah dapat dilaksanakan.
“Setakat ini (semalam), keluarga Datuk Seri Najib belum membayar denda. Bayaran perlu dilangsaikan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana kes bermula dan dibicarakan di sana,” katanya.
Menurut beliau, tempoh untuk membawa Najib pulang ke kediamannya selepas bayaran dibuat belum dapat dipastikan kerana proses berkenaan mungkin mengambil sedikit masa.
Mohd Dusuki berkata, kriteria dan jumlah denda berkenaan tertakluk kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Penjara akan memperincikan syarat serta prosedur bagi pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat ditetapkan.
Sekiranya mana-mana syarat berkenaan tidak dipatuhi, pengampunan bersyarat itu terbatal dan Najib perlu meneruskan baki hukuman di penjara.
Najib kini menjalani hukuman penjara susulan sabitan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd., manakala kes membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih dalam proses rayuan di Mahkamah Rayuan.





