
KAJANG: Pelajar dan graduan kini diberi peluang bertemu terus majikan, menjalani temu duga serta mendapatkan tawaran pekerjaan menerusi MARA Career Crafting 2026 yang berlangsung di German-Malaysian Institute (GMI), di sini.
Inisiatif Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu menghimpunkan pelajar tahun akhir, graduan, alumni MARA dan pencari kerja dalam satu platform yang menghubungkan mereka secara langsung dengan industri serta peluang pekerjaan.
Ahli Majlis MARA, Datuk Rosni Sohar berkata, lebih 40 syarikat dan majikan daripada pelbagai sektor menyertai Central Chapter.
“Selain itu, terdapat 60 reruai industri dan pendidikan disediakan bagi membuka ruang kepada peserta meneroka kerjaya, membina jaringan profesional dan memahami kemahiran yang diperlukan pasaran kerja.
“Usaha ini tidak berhenti pada pendedahan kerjaya apabila surat tawaran pekerjaan turut diserahkan pada majlis perasmian sekali gus menunjukkan peluang yang dibawa menerusi Career Crafting boleh diterjemahkan terus kepada pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata, Career Crafting 2026 bukan sekadar karnival kerjaya tetapi platform strategik untuk merapatkan jurang antara dunia pendidikan dengan keperluan sebenar industri.
Rosni menambah, antara pengisian utama program termasuk LinkedIn Career Clinic, semakan resume, perkongsian laluan kerjaya, Pitch & Connect with Industry, temu duga secara langsung serta sesi interaksi bersama industri.
“Pelbagai sektor turut membuka peluang kepada peserta termasuk pembuatan, automotif, semikonduktor, kejuruteraan, teknologi dan digital, tenaga, penerbangan, pengangkutan, penjagaan kesihatan serta perkhidmatan profesional.
“Antara syarikat dan organisasi yang mengambil bahagian ialah Perodua, Prasarana Malaysia, Sony EMCS, Hartalega, Chery Corporate Malaysia, CTRM, Coca-Cola, Micron, Nexperia dan Bermaz Auto,” ujarnya.
Career Crafting 2026 dilaksanakan di lima zon seluruh negara bermula dengan Central Chapter di GMI pada 20 dan 21 September, program berkenaan akan diteruskan ke Johor Bahru, Kemaman, Kulim dan Bintulu.
Pendekatan itu membawa mesej jelas bahawa persediaan kerjaya tidak lagi sekadar bermula selepas tamat pengajian, sebaliknya perlu dibina lebih awal melalui pendedahan industri, jaringan profesional, pemadanan pekerjaan dan temu duga.
MARA menyifatkan pendekatan Career Crafting 2026 sebagai usaha membawa peserta “daripada mengenali peluang kepada mendapatkan peluang”, dengan matlamat memastikan bakat yang dibangunkan melalui ekosistem pendidikan MARA mempunyai laluan lebih jelas untuk memasuki dunia pekerjaan.





