
SUNGAI SIPUT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengerahkan anggotanya ke Kampung Takung, Pos Perwor di sini selepas seorang lelaki Orang Asli maut dipercayai diserang harimau belang ketika mencari rotan, semalam.
Dalam kenyataan hari ini, Perhilitan memaklumkan pasukan berkenaan menjalankan operasi pencarian, pemeriksaan di lokasi serta siasatan bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian.
Operasi turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk setempat.
“Berdasarkan maklumat dan pemerhatian awal di lokasi, mangsa, seorang lelaki berusia 43 tahun, ditemukan di kawasan berhampiran jalan balak.
“Pemerhatian awal turut mendapati terdapat kesan pergelutan yang dipercayai berkaitan kejadian, manakala jarak antara lokasi kesan pergelutan dengan tempat mangsa ditemukan dianggarkan kira-kira 200 meter,” menurut kenyataan itu.
Mangsa yang dikenali sebagai Zamberi Angah, 42, maut dipercayai diserang harimau ketika mencari rotan bersama rakannya di kawasan Hutan Simpan Korbu berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor.
Menurut Perhilitan, siasatan masih dijalankan bagi mengesahkan butiran kejadian termasuk punca dan keadaan sebenar insiden.
Perhilitan turut melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian bagi mengesan tanda-tanda kehadiran harimau belang.
Pasukan berkenaan juga mendapatkan maklumat daripada penduduk setempat selain memasang perangkap di lokasi yang dikenal pasti sesuai.
“Kerjasama dan penyelarasan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), PDRM, pihak berkuasa negeri serta komuniti setempat akan terus diperkukuh bagi memastikan langkah keselamatan dan pengurusan konflik manusia-hidupan liar dapat dilaksanakan secara berkesan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Perhilitan menasihatkan penduduk di kawasan berhampiran supaya meningkatkan kewaspadaan dan mengelak memasuki kawasan hutan atau lokasi yang dikenal pasti mempunyai tanda kehadiran harimau belang, terutama secara bersendirian.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menghampiri, mengejar, menangkap atau mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan haiwan berkenaan.
Sebarang penampakan atau tanda kehadiran harimau belang hendaklah dilaporkan segera kepada Perhilitan melalui talian 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi jabatan.







