
KOTA TINGGI: Seorang lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dipercayai dicampak ke dalam sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili, di sini, semalam.
Perintah reman terhadap suspek berusia 37 tahun itu bermula hari ini hingga 28 September dan dikeluarkan Hakim Hafizah Abdul Rajak di Mahkamah Sesyen di sini.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental itu dirawat di Hospital Kota Tinggi sebelum dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 9 pagi.
Dia tiba dengan memakai kemeja-T biru dan diiringi anggota polis.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi semalam, kanak-kanak perempuan berkenaan ditemukan maut selepas dipercayai dicampak ke dalam sungai oleh bapa saudaranya.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, berkata suspek dipercayai mencampakkan mangsa ke dalam sungai sebelum mengamuk dan mengejar seorang lelaki berusia 40 tahun menggunakan parang.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 9.30 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, berlaku pergelutan antara polis dengan suspek sehingga menyebabkan seorang anggota polis cedera, namun suspek berjaya ditahan,” katanya.
Yusof berkata, pembantu pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan kematian kanak-kanak berkenaan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kota Tinggi sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang untuk bedah siasat hari ini.







