
DUNGUN: Penyu belimbing, spesies penyu terbesar di dunia, kembali mendarat dan bertelur di Pantai Kuala Abang di sini awal pagi tadi, sekali gus menjadi pendaratan ketiga direkodkan di Terengganu bulan ini.
Kali ini, sebanyak 70 biji telur dikutip untuk dipindahkan ke tempat penetasan di Hatcheri Pusat Konservasi Penyu, Rantau Abang.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, ibu penyu berkenaan ditemukan mendarat oleh pemajak telur penyu di Pantai Kuala Abang pukul 2 pagi.
Menurutnya, penyu berkenaan kembali ke laut pukul 5.30 pagi selepas selesai bertelur.
“Ibu penyu itu berukuran 2.15 meter panjang dan 1.15 meter lebar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pang berkata, kesemua telur berkenaan dikutip petugas Jabatan Perikanan kira-kira pukul 6 pagi sebelum dipindahkan ke Hatcheri Pusat Konservasi Penyu di Rantau Abang untuk dieram.
“Telur penyu belimbing yang dieram itu dijangka menetas dalam tempoh 50 hingga 70 hari,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ibu penyu terbabit merupakan penyu sama yang sebelum ini mendarat dan bertelur di Pantai Pasir Putih, Marang pada 1 September lalu dan Pantai Rantau Abang pada 13 September.
Pendaratan terbaharu itu menjadikan tiga kali penyu belimbing direkodkan mendarat di Terengganu bulan ini.
Untuk rekod, pendaratan penyu belimbing di Terengganu kali terakhir direkodkan pada 2017.







