
KUALA LUMPUR: Polis mengambil keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung rakaman pementasan teater didakwa mempersendakan prinsip Rukun Negara yang tular di media sosial baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata ketiga-tiga individu itu ialah pelakon teater berkenaan iaitu seorang lelaki dan dua wanita berusia 28 hingga 47 tahun yang ditahan di sekitar Selangor dan Johor pada Sabtu lepas.
Beliau berkata siasatan mendapati pementasan berdurasi kira-kira 10 minit itu berlangsung di Penang Performing Arts Centre (PAC), Pulau Pinang pada 2018 sebelum pusat seni itu ditutup sepenuhnya pada 2024.
“Tiada sebarang laporan polis dibuat mahupun video disebarkan sewaktu persembahan itu diadakan lapan tahun lepas. Jadi tiada tindakanlah. Tapi sekarang ini, ada orang sebarkan perkara yang berlaku pada tahun 2018,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kumar berkata siasatan awal mengenal pasti lima pelakon terlibat dalam pementasan teater berkenaan dengan tiga individu diambil keterangan, seorang pelakon meninggal dunia, manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom (UK) berdasarkan semakan rekod Jabatan Imigresen.
Beliau berkata pengarah teater itu pula ialah warga UK namun disahkan telah pulang ke negara asalnya.
Kumar berkata ketiga-tiga individu yang diambil keterangan dibebaskan dengan jaminan polis dan pemeriksaan forensik terhadap peranti serta akaun media sosial mendapati mereka tidak menyimpan video pementasan teater itu.
Beliau berkata polis sedang mengesan individu bertanggungjawab memuat naik dan menyebarkan video berkenaan melalui pengesanan alamat Protokol Internet (IP).
Kumar berkata siasatan dilaksanakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kes akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan dan nasihat selanjutnya.
Pada Sabtu lepas, media melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat sebuah video pementasan teater yang didakwa memaparkan kandungan menyentuh institusi Raja, Malaysia serta Rukun Negara. – BERNAMA







